1.0 PENGENALAN
Penglibatan golongan
remaja dalam masalah penyalahgunaan dadah telah menunjukkan bahawa masalah ini
telah merentasi peringkat usia dan kedudukan seseorang. dadah merupakan bahan
kimia yang asli atau tiruan,apabila dimasukkan dalam tubuh badan ianya akan
mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental.Menurut Kamus Dewan Melayu - Inggeris,
makna perkataan "Drug"
bermaksud ubat-ubatan. Walaupun demikian, untuk memberi takrif penyalahgunaan
kepada "drug", perkataan "use" , "misuse"
atau "abuse" perlu digunakan bersama-sama dengan perkataan “drug”
. Contohnya" drug abuse" atau "misuse of drug”
yang membawa maksud penyalahgunaan dadah.
Dadah
merupakan
satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan
kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi fizikal, mental dan emosi
serta tingkahlaku pengguna apabila digunakan. Akibat daripada kesan
ini,seseorang yang menyalahgunakan dadah akan menjadi ketagih dan akan terus bergantung
hidup kepadanya. Ubat-ubatan seperti "paracetamol "
dan" antibiotic " membantu menyembuhkan anda sekiranya anda
tidak sihat. Teh, kopi dan coklat juga mengandungi sejenis dadah
rangsangan yang dikenali sebagai"caffeine". Namun begitu, dadah
rangsangan seperti ini tidak mengakibatkan ketagihan yang boleh menjadi masalah kepada individu, masyarakat
dan negara. Akta Dadah berbahata 1952 untuk mengharamkan penanaman,
pengeluaran, pengedara, import, eksport, pemilikan dan penyalahgunaan dadah
seumpama ini.
Masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda khususnya di negara ini
adalah satu masalah besar yang sentiasa mendapat tumpuan ramai terutama sekali
pihak berkuasa. Golongan muda merupakan
modal insan dan aset penting negara yang sangat berharga. Jumlah belia bagi
tahun 2007 adalah seramai 11.96 juta orang (Jabatan Perangkaan Malaysia 2008)
dan merupakan satu kumpulan besar dalam populasi penduduk Malaysia. Golongan
ini juga merupakan golongan yang mempunyai statistik tertinggi terlibat dengan
masalah dadah.
Permasalahan dadah tidak akan ada
penghujungnya selagi ada dadah, penagih, pengedar serta individu yang menjadi tali barut kepada
kegiatan pengedaran dadah maka selagi itulah kehidupan rakyat akan terus
terancam. Oleh itu, usaha perlu
diteruskan untuk mnecegah pengaruh dadah
daripada terus berlaluasa dalam masyarakat (Husain dan Mustafa, 1999). Di Malaysia, penyalahgunaan dadah bukan
satu persoalan baru. Ia telah menjadi satu ancaman bukan sahaja kepada individu
atau keluarga, malah turut menjadi satu masalah besar kepada negara (Syed Amin
1995; Mahmood 1999; Abdul Ghafar 1992; Ruslina 2004).
Masalah
dadah mengancam secara berantai bermula dari penyeludupan dan pengedaran,
kemudian membawa kepada penyalahgunaan dan seterusnya penagihan dadah. Jika dilihat
isu penyalahgunaan dadah yang melanda dunia khususnya negara barat pada hari
ini sangat kritikal. Peningkatan kes penyalahgunaan dan penagihan dadah setiap
tahun menuntut pelbagai usaha untuk memerangi gejala ini yang sememangnya
berhadapan dengan dugaan dan cabaran yang begitu hebat.
2.0 FAKTOR –FAKTOR REMAJA TERLIBAT
DALAM MASALAH DADAH
2.1
Institusi Kekeluargaan
Dalam institusi kekeluargaan, ibu bapa yang
terlalu tegas dalam mendidik anak serta memberi hukuman yang keras menyebabkan
remaja akan bertindak negatif. Ini kerana ibu bapa yang lebih bersifat
autokratik akan menjadikan jiwa remaja memberontak. Zainal dan Sharani (2004)
menjelaskan bahawa kesan daripada kaedah pengawalan autokratik akan
menghasilkan gabungan antara pemberontakan dan pergantungan. Oleh itu,
anak-anak akan mencari kebebasan di luar dan bergaul dengan rakan-rakan yang
terlibat dalam masalah sosial seperti merempit dan masalah dadah. Secara tidak
langsung, remaja yang bergaul dengan rakan yang terlibat dengan masalah dadah
akan turut terlibat sama dalam kegiatan ini.
Selain itu, faktor keluarga seperti
ibu bapa yang sibuk dalam mencari rezeki juga merupakan penyebab remaja
terlibat dalam masalah dadah. Kebanyakkan ibu bapa yang sibut mencari nafkah
tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama anak-anak. Oleh itu, anak-anak
terasa seolah-olah diri mereka tidak diberi kasih sayang yang secukupnya. Ibu
bapa yang bekerjaya biasanya jarang berada di rumah dan sering sibuk dengan
kerja menyebabkan anak-anak bosan untuk
berada di rumah. Mereka akan lebih gemar untuk bersama dengan rakan-rakan
mereka bagi mengisi kekosongan. Arieff dan Wardah (2006) yang menjelaskan ibu
bapa yang sibuk dengan kerja boleh menyebabkan hubungan antara anak dengan ibu
bapa renggang. Oleh itu, remaja lebih suka menghabiskan masa bersama
rakan-rakan sebelum pulang ke rumah.
Keadaan ini juga akan menyebabkan
kurangnya komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak mereka tentang keperluan
dan masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Hubungan interaksi yang lemah
antara ibu bapa dan anak akan menyebabkan remaja hilang tempat mengadu dan
bergantung. Remaja akan merasakan ibu bapa tidak mengambil berat tentang
keperluan mereka terutamanya dari segi psikologikal. Oleh itu, remaja akan
mencari kawan sebagai tempat untuk mengadu.
Jackson, et al. (1998) menjelaskan
komunikasi yang tidak berkesan akan mendatangkan kesan yang negatif terhadap
keluarga dan tingkah laku anak-anak. Ibu
bapa yang sibuk juga jarang memberi motivasi dan sokongan serta pujian terhadap
perkara yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Kata-kata peneguhan seperti
pujian yang jarang diberikan kepada anak-anak akan membuatkan remaja merasakan
diri mereka tidak mempunyai kelebihan dan perkara yang mereka lakukan tidak
bermakna. Keluarga yang berpecah belah seperti berlaku penceraian antara ibu
bapa turut member kesan yang amat besar kepada anak-anak. Remaja yang melalui
situasi sebegini akan merasa tertekan apabila berada di rumah. Tekanan yang
dihadapi mendorong remaja untuk mencari kebahagiaan di luar. Tanpa memikir
panjang, remaja akan berjinak-jinak dengan masalah dadah untuk menghilangkan
stress yang dihadapi.
Oleh itu, institusi kekeluargaan
yang lemah mendorong remaja untuk terlibat dalam masalah dadah. Ini kerana,
remaja tidak mendapatkan apa yang diingini serta apa yang diimpikan di
rumah. Jadi, remaja akan mencari
keseronokkan dan apa yang diperlukan di luar rumah. Kebiasaannya, remaja akan
mencari rakan yang senasib dengan mereka. Mereka akan menghabiskan masa
bersama-sama dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti melepak, berjalan-jalan
di kompleks membeli-belah dan sebagainya. Kebiasaannya, dari sini, remaja yang
sebelum ini tidak terlibat dengan rokok mula berjinak-jinak dengan menghisap
rokok, dan akhirnya terlibat dengan
masalah dadah.
Statistik penagihan dadah yang
dikeluarkan oleh Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan Malaysia menunjukkan, bagi
tempoh 7 bulan pertama 2008, Januari-Julai seramai 7,992 orang penagih dadah
telah dikesan. Sejumlah 3,584 dari mereka (44.84%) yang dikesan terdiri
daripada penagih baru, manakala selebihnya seramai 4,408 orang (55.16%) adalah
penagih berulang. Purata penagih baru dikesan bagi tempoh sebulan ialah seramai
512 orang berbanding dengan penagih berulang 630 orang. Jumlah kes baru dikesan
tinggi di Johor 58.10% (558 orang), di ikuti oleh Negeri Kedah 46% (465 orang)
dan di WP Kuala Lumpur 28.90% (427 orang). Sementara kes berulang yang tinggi
dikesan di WP Kuala Lumpur sebanyak 71.10% (1077 orang). Walau pun secara umum
terdapat penurunan sebanyak 21.11% berbanding tempoh masa yang sama pada tahun
2007 (10,131 orang), jumlah ini masih dianggap tinggi.
2.2
Diri Sendiri
Selain itu, faktor rakan sebaya juga merupakan salah
satu faktor yang mendorong remaja terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah.
Bagi remaja, rakan sebaya adalah golongan yang mempunyai keinginan dan pendapat
yang sama dengan mereka. Kadangkala, perkara-perkara yang dilakukan oleh rakan
mereka dianggap baik dan betul. Remaja juga sanggup melakukan apa sahaja supaya
mereka dihormati dan diiktiraf oleh rakan-rakan iaitu ahli kumpulan walaupun ia
berdosa. Remaja sebegini cenderung untuk bersama rakan-rakan yang mempunyai
tingkah laku yang sama. Sebagai contoh, remaja yang mempunyai masalah di rumah
seperti masalah ibu bapa bercerai, kesempitan hidup dan sebagainya akan mencari
rakan-rakan yang mungkin senasib dengan mereka. Dari situ, mereka akan mula
mencuba sesuatu yang baru bagi menghilangkan masalah yang dihadapi di rumah
dengan mengambil dadah. Rakan-rakan yang senasib mudah mempengaruhi rakannya
untuk mencuba perkara yang baru.
Bagi remaja, rakanlah yag lebih memahami dirinya
berbanding dengan ibu bapa. Oleh itu, mereka mula berjinak-jinak dalam masalah
dadah dan akhirnya menjadi rutin harian. Ini akan mendorong mereka membentuk
kumpulan sendiri dan mempunyai peraturan tertentu dalam kumpulan mereka.
Justeru itu, remaja sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka diterima
menjadi ahli kumpulan. Asmak (2006) mendapati remaja akan terpengaruh dengan
rakan-rakan yang menganggap peraturan sekolah adalah tidak penting dan mereka
akan membentuk kumpulan serta peraturan tertentu. Kajian oleh Samsaadal dan
Abdullah (2006) juga mendapati pengaruh rakan sebaya juga cukup besar. Remaja
akan berasa selesa bersama rakan sebaya sekirannya mereka diiktiraf.
Remaja juga mudah menerima ajakan
dan pujukan daripada rakan-rakan kerana mereka percaya apa yang dilakukan oleh
rakan mereka adalah betul dan boleh mendatangkan keseronokan. Pengaruh rakan
sebaya remaja terlibat dengan salah laku merupakan peratusan tertinggi iaitu
63.6%, kajian menunjukkan bahawa remaja biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh
dengan rakan sebaya. Oleh sebab remaja ingin diterima dalam sesebuah kumpulan,
remaja secara tidak langsung akan mengikuti ajakan rakan-rakan
yang berjinak-jinak dengan najis dadah. Menurut kata Pengarah
Agensi Dadah Kebangsaan, senario ini berlaku disebabkan remaja tidak
mempunyai kemahiran 'interpersonal'.
2.3
Ekonomi
Faktor lain ialah status ekonomi.
Status ekonomi ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu status ekonomi yang
rendah dan status ekonomi yang tinggi. Bagi remaja yang terdiri daripada
keluarga yang berstatus ekonomi rendah, ibu bapa mereka terpaksa bekerja untuk
mendapatkan nafkah bagi menyara keluarga. Terdapat sesetengah bapa terpaksa
melakukan dua yang berlainan dalam
sehari. Contohnya, pada waktu pagi, mereka akan melakukan kerja seperti menoreh
getah manakala pada waktu petang pula, mereka akan melakukan kerja seperti
pengawal keselamatan. Oleh itu,ibu bapa kurang berkomunikasi dengan anak-anak
disebabkan kekangan masa yang ada. Selepas subuh, mereka telah keluar mencari
nafkah manakala lewat malam, mereka baru pulang sesudah anak-anak tidur.
Oleh itu, anak-anak tidak dapat
berkongsi masalahnya dengan ibu bapa akibat kekangan ini. Bagi remaja yang
tidak dapat memahami keadaan ini, mereka akan merasakan bahawa ibu bapa tidak
memberi perhatian, kasih sayang dan tidak menghiraukan mereka. Mereka juga
berasa bebas untuk bergaul, keluar ke mana sahaja tanpa pengawasan daripada ibu
bapa. Oleh itu, mereka akan mencari keseronokkan serta lepaskan rasa kecewa
bersama rakan-rakan. Sekiranya rakan-rakan yang dipilih itu terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah, ini mendorong
remaja untuk berjinak-jinak dengan masalah tersebut. Pada mulanya, mungkin mereka menggangap ianya
sekadar untuk menghilangkan tekanan dan menyeronokkan, tapi lama-kelamaan ianya
akan bertukar menjadi ketagih. Kebanyakkan keluarga dan ibu bapa merupakan
orang yang paling lewat mengetahui anak-anak mereka terlibat dalam masalah
dadah berbanding orang lain.
Bagi remaja yang terdiri daripada
status ekonomi keluaga yang tinggi, mereka juga mudah terjebak dalam masalah
penyalagunaan dadah. Hal ini demikian
kerana ibu bapa yang sibuk bekerja mempunyai kekangan masa untuk berkomunikasi
dengan anak-anak. Sebagai contoh, sekiranya ibu bapa yang terpaksa keluarga
negeri untuk melaksanakan tanggungjawab, anak-anak mudah untuk mendapatkan
kebebasan di luar. Hal ini kerana mereka mungkin berasa sunyi kerana tidak
mendapat kasih sayang dan perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa.
Apabila remaja mula bergaul secara
bebas, ianya terdedah kepada risiko yang tinggi untuk terlibat dalam masalah
dadah. Tambahan pula, ibu bapa tidak mempunyai masa untuk memantau anak-anak.
Tambahan pula, disebabkan mereka terdiri daripada keluarga yang berstatus
ekonomi yang tinggi, mereka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan sumber
kewangan daripada keluarga. Ibu bapa yang tidak memantau anak-anak dan sibuk
dengan kerjayanya mudah mempercayai anak-anaknya. Ini memberi kesempatan kepada
anak-anak dengan menipu ibu bapa bagi mendapatkan wang untuk mendapatkan
bekalan dadah. Ibu bapa hanya memberi tanpa menyoal. Oleh itu, status ekonomi sama ada status
ekonomi yang tinggi mahupaun status ekonomi yang rendah, ianya boleh
menyebabkan remaja terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah.
3.0 STRATEGI
3.1 Peranan Kerajaan
3.1.1 Pihak
kerajaan mengenakan hukuman yang berat.
Misalnya di berikan hukuman mati
(gantung) bagi pengedar dadah. Hal ini adalah kerana tanpa pengedar dadah ini
sudah tentu penagih akan sukar memperolehi bekalan dadah. Begitu juga kepada
penagih dadah dikenakan hukuman yang berat. Sebagai contoh, hukuman bagi
penyalahgunaan dadah jenis ‘Syabu’. Kesalahan mengedar dadah Syabu iaitu antara
20 gram hingga 50 gram (di bawah seksyen 3 (a) Akta Penyalahgunaan Dadah,
Penggal 27). Hukuman minima adalah 20 tahun penjara dan 15 kali sebat dan
hukuman maksima pula adalah 30 tahun penjara dan 15 kali sebat. Jika
melebihi daripada 50 gram akan dikenakan hukuman mati (gantung). Manakala kesalahan
bagi memakan dadah Sybu di bawah Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah
Penggal 27, boleh dijatuhkan hukuman
maksima 10 tahun penjara atau $20,000.00 atau kedua-duanya sekali.
3.1.2
Melaksanakan pendidikan untuk mencegah dari
penyalahgunaan dadah.
Pihak yang berkenanaan sama ada
kerajaan mahupun swasta dalam usaha untuk membanteras isu penyalahgunaan dadah
perlu mengadakan pendidikan untuk mencegah. Sebagai contoh, mengadakan
aktiviti-aktiviti seperti ceramah, seminar, pameran dan sebagainya. Hal ini
bertujuan untuk memberi informasi, pengetahuan serta kefahaman kepada
masyarakat terutama golongan remaja tentang bahaya dadah dan kesedaran mereka.
Selain itu, pihak yang berkenaan boeh mengadakan aktiviti ko-kurikulum seperti
perkhemahan motivasi dan sebagainya.
3. 1.3
Mewujudkan kerjasama di antara orang awam dan kerajaan.
Hal ini bertujuan supaya sentiasa
berganding bahu bagi sama-sama membanteras isu penyalahgunaan dadah yang
semakin berleluasa terutama dalam kalangan golongan remaja. Sebagai contoh, masyarakat dan pihak kerajaan perlu serta
merta bertindak pantas dalam melaporkan
kegiatan-kegiatan yang mencurigakan. Ibu bapa perlu mengawasi dan bertanggungjawab
dalam menjaga anak-anak mereka. Selain itu, kawalan kastam yang ketat perlu
dilaksanakan supaya dadah tidak dapat diseludup masuk ke Negara ini.
3.1.4
Penubuhan pusat-pusat pemulihan.
Pihak kerajaan juga perlu
menambahkan rumah-rumah pemulihan yang
bertujuan untuk memberi rawatan bagi penagih-penagih sama ada dari berbagai peringkat
umur, bangsa dan lain-lain. Sebagai contoh, kerajaan Brunei telah menubuhkan
sebuah rumah pemulihan yang dikenali sebagai Rumah Al-Islah untuk merawat serta
memulihkan pemikiran mental serta tingkah laku mereka kepada jalan yang
benar serta di redhai Allah.
3.2
Peranan Ibu Bapa
Sebenarnya , peranan ibu bapa
bermula sejak anak-anak masih di peringkat kanak-kanak lagi. Menurut Dr Haji Zahazan Mohamed seorang
pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bukunya “Anakku Hebat
Anakku Soleh”, pabila anak-anak telah dapat menerima ajaran agama dengan baik
dan mengalikasinya dalam setiap aktiviti harian , sudah pastilah mereka dapat
mengawal diri daripada perkara negatif aitui penagihan dadah. Hal ini kerana,
perasaan sangat takut akan Tuhan akan mencegah naluri anak-anak daripada
mendekati najis dadah. Situasi ini juga berlaku kerana anak-anak dapat
membezakan perlakuan yang murni dengan yang tidak bermoral. Oleh itu, pemantauan
yang serius oleh ibu bapa terhadap pengamalan agama anak-anak akan membentuk
suatu benteng yang kukuh bagi menepis pengaruh penagihan dadah kepada
anak-anak.
Dalam memberi perhatian kepada
anak-anak, sikap pilih kasih antara anak-anak perlu dihindari. Perilaku ini
mampu melahirkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anak-anak. Perbezaan
layanan akan mewujudkan tekanan perasaan, sakit hati , benci dan cemburu sesama
anak-anak. Implikasinya , anak-anak yang berasa tidak mendapat layanan istimewa
akan bertindak melakukan apa-apa sahaja untuk menarik perhatian ibu bapa
seperti melibatkan diri dalam dunia penagihan dadah. Intihanya, perhatian yang
sama rata dan adil perlu menjadi keutamaan untuk menghindari pengaruh buruk
dadah.
Selain itu, hubungan
kekeluargaan yang erat juga mampu membendung serangan penagihan dadah dari
menerobos masuk ke dalam keluarga. Hubungan erat dengan keluarga kembangan
seperti datuk, nenek, ibu saudara, bapa saudara dan sepupu-sepupu akan melahirkan
ikatan yang intim. Keadaan ini dapat membantu ibu bapa
memantau kelakuan anak-anak kerana kebiasaannya anak-anak akan lebih mudah
meluahkan isi hati kepada orang lain berbanding ibu bapa sendiri. Oleh itu ,
dalam usaha mengawal perilaku anak-anak dari terjebak dengan penagihan dadah,
ibu bapa perlu sentiasa berhubung dan menziarahi kaum keluarga kembangan agar
anak-anak berasa diri mereka sentiasa
disayangi dan diberi perhatian oleh
semua kaum keluarga. Akibatnya, anak-anak akan berhati-hati dalam setiap tindak
tanduk yang ingin dilakukan. Hal ini dapat membantu ibu bapa memantau anak-anak
lalu menghalang anak-anak daripada terjerumus ke dalam kancah dadah yang kotor
itu. Intihanya, ibu bapa mesti menguatkan ikatan ukhwah dengan saudara-mara
yang lain supaya mereka boleh menjadi mata-mata yang bersedia memerhati tindak-
tanduk anak-anak seterusnya dapat mengawal anak-anak dari terlibat dengan najis
dadah.
Dalam mendidik anak-anak pada
awal zaman remaja, ibu bapa perlu menjadi ‘rakan’ kepada anak-anak. Sebagai
contoh, pakar motivasi terkenal, Dr. Fadzilah Kamsah dalam sebuah rancangan motivasi
stesen televesen TV3 pernah menyarankan agar seorang bapa ‘bertukar’ menjadi kanak-kanak lelaki untuk memainkan watak
raksasa melawan anak lelakinya yang menjadi
watak “ultraman”. Bagi Dr. Fadzilah Kamsah , perlakuan ini amat penting bagi
perkembangan mental dan emosi anak-anak kerana dapat mewujudkan hubungan yang
erat dalam keluarga.
Dalam erti kata lain, ibu bapa perlu memahami naluri anak-anak
tentang kegemaran dan kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang. Jika ada
anak-anak remaja,ibu bapa boleh melibatkan diri bersama-sama dalam aktiviti
yang digemari oleh anak-anak seperti mendaki gunung. Dengan cara ini, anak-anak
akan berasa dihargai dan disayangi seterusnya berasa yakin dan selamat jika
bersama-sama keluarga. Natijahnya,
anak-anak akan lebih gemar bersama-sama keluarga berbanding rakan-rakan di luar
rumah. Oleh itu, kesefahaman antara ibu
bapa dan anak-anak amat perlu, agar anak-anak tidak berasa terpinggir dan
menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya yang boleh menarik mereka ke lembah
penagihan dadah.
Akan tetapi, ibu bapa tidak boleh menyekat
sepenuhnya pergaulan anak-anak di luar rumah. Lebih-lebih lagi jika anak-anak sudah mula menapak kaki ke
dalam alam persekolahan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu memberi
perhatian terhadap rakan-rakan yang menjadi sahabat anak-anak. Hal ini kerana
,kebanyakan penagih mendakwa mereka menjadi penagih kerana terpengaruh dengan
ajakan rakan-rakan. Malah, di peringkat remaja, pengaruh rakan sebaya lebih
besar berbanding ibu bapa. Sehubungan dengan itu, latar belakang rakan-rakan
anak-anak perlu diselidik dengan teliti. Adalah sangat baik jika ibu bapa menjalinkan
hubungan persahabatan dengan ibu bapa kepada rakan-rakan anak-anak. Jalinan
hubungan yang baik ini akan melahirkan rasa tanggungjawab yang ikhlas untuk
saling memantau gerak-geri anak-anak masing-masing. Seterusnya, dapat
meyelamatkan anak-anak daripada fenomena negatif ini menular dalam kehidupan
keluarga.
Selain menjalinkan ikatan
persahabatan antara ibu bapa, kerjasama yang erat juga amat penting dijalinkan
dengan pihak sekolah tempat anak-anak belajar. Keprihatinan ibu bapa tentang
hal ehwal disiplin dan pencapaian akademik anak-anak di sekolah dapat menyekat
anak-anak dari terus leka dan tidak menumpukan perhatian pada pelajaran.
Maklumat tentang anak-anak daripada pihak sekolah perlu diberi perhatian
positif. Hal ini kerana, sebahagian besar waktu siang anak-anak dihabiskan di
kawasan sekolah iaitu lebih kurang lima
jam sehari. Apatah lagi, jika anak-anak tinggal di asrama, mereka hanya bertemu keluarga pada setiap
hujung minggu sahaja. Maka , ibu bapa perlu memberi kepercayaan kepada pihak
sekolah untuk bersama-sama mengawal disiplin dan tingkah laku anak-anak mereka.
Melalui tindakan ini, anak-anak akan berasa sentiasa diawasi dan tiada peluang
untuk melakukan hal-hal yang kurang baik seperti merokok di kawasan sekolah.
Hal ini kerana, punca awal penagihan dadah datangnya daripada kegemaran
merokok. Kesimpulannya, jalinan kerjasama antara ibu bapa dan sekolah juga
mampu mengelak unsur buruk ini menyusup masuk ke dalam kehidupan anak-anak dan
memporak- perandakan kebahagian keluarga.
Secara tuntasnya, pencegahan
penagihan dadah dalam kalangan anak-anak memang terletak di bahu ibu bapa. Namun begitu ibu bapa tidak dapat bergerak sendirian bagi
menanganinya. Permuafakatan dengan masyarakat amat penting. Masyarakat tidak
boleh bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan
hanya menuding jari kepada ibu bapa yang terbabit. Hal ini kerana, wabak dan
najis dadah boleh menyusup masuk ke dalam setiap keluarga jika tidak diawasi
bersama-sama. Sikap prihatin perlu ada, umpama peribahasa Melayu, cubit paha
kanan, paha kiri terasa. Oleh itu, semua ibu bapa yang merupakan salah satu
entiti dalam masyarakat perlu saling membahu untuk membanteras isu negatif ini
daripada terus memburu anak-anak mereka lalu membarah dalam komuniti.
4.0 KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, semua pihak harus
memainkan peranan masing-masing dalam memastikan masalah dadah dalam kalangan
remaja dapat di kurangkan. Usaha yang dilakukan tidak seharusnya bergantung
kepada pihak kerajaan semata-mata. Peranan ibu bapa juga penting dalam
memastikan anak-anak sentiasa berada
dalam keadaan selamat dan bebas daripada dadah. Secara
keseluruhannya dapatlah dikatakan bahawa masalah dadah pada masa kini sangat
berleluasa, ia bukan sahaja melibatkan golongan dewasa malah juga golongan
remaja terutamanya pelajar sekolah. salah satu masalah sosial yang
dilakukan ialah kegiatan menghidu gam. Pada kebiasaannya, kegiatan ini berlaku adalah disebabkan oleh
beberapa faktor misalnya seperti pengaruh rakan sebaya, keinginan untuk mencuba
sesuatu yang baru dan juga keluarga. Justeru itu mereka melakukan
kegiatan tersebut sehingga akhirnya boleh memberikan impak dan kesan bukan
sahaja kepada diri seseorang remaja itu sendiri, malah juga kepada keluarga,
pendidikan dan juga masyarakat serta negara. Oleh yang demikian, bagi
menghindari perkara atau kegiatan ini dari terus berleluasa, kita atau pihak
yang berkenaan hendaklah sentiasa membentuk beberapa langkah dan strategi bagi
mengatasinya masalah dadah ini.
Pelbagai
langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting, ibu bapa
mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah dadah
dalam kalangan remaja. Dengan kata lain,
walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama
daripada ibu bapa, masyarakat dan semua pihak nescaya gejala ini sukar diatasi.